Tuesday, 27 October 2020

updated 9:22 AM UTC, Oct 27, 2020

Pasaran buruh negara tunjuk trend pemulihan pengangguran

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Pasaran buruh negara menunjukkan trend pemulihan apabila merekodkan bilangan penganggur seramai 741,400 orang pada Ogos berbanding 745,100 orang pada Julai lalu.

Kadar pengangguran kekal pada 4.7% berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi kenyataan media berkata kadar pemulihan dicatatkan untuk tiga bulan berturut-turut merekodkan kadar tertinggi 5.3% pada Mei lalu.

Trend pemulihan pada bulan Ogos lalu disokong oleh pelbagai faktor.

Antaranya, langkah kerajaan membenarkan banyak perniagaan beroperasi bermula 10 Jun 2020 selaras dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat, kebenaran merentas negeri dan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak.

Inisiatif kerajaan yang menekankan bantuan pemulihan pasaran buruh di bawah PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA turut memberi kesan positif.