Tuesday, 27 October 2020

updated 9:22 AM UTC, Oct 27, 2020

Orang ramai dipelawa ambil bahagian Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempelawa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 yang bermula 8 Oktober lalu hingga 30 November ini.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dalam satu kenyataan berkata kaji selidik itu bertujuan mendapatkan maklum balas bagi menambah baik dan merangka semula skim sedia ada bagi memenuhi keperluan ahli pada masa hadapan.

Kaji selidik dalam talian yang berlangsung selama lapan minggu itu juga sejajar visi KWSP yang mahu membantu ahli mencapai masa depan lebih baik selain melindungi simpanan dan memberikan perkhidmatan terbaik.

Tambah beliau, kaji selidik tersebut terbuka untuk semua sama ada pencarum KWSP atau tidak.

Kaji selidik tahun ini merangkumi soalan berkaitan caruman, pengeluaran, dividen serta struktur akaun KWSP.

Orang ramai boleh menjawab soalan berkaitan secara dalam talian di laman sesawang di KWSP.