Thursday, 24 September 2020

updated 2:00 PM UTC, Sep 24, 2020

PRIHATIN & PENJANA: Lebih RM760 juta dinikmati rakyat Terengganu

  • Published in Ekonomi

KUALA TERENGGANU, 6 September - Lebih RM760 juta dinikmati rakyat Terengganu menerusi Pakej PRIHATIN dan PENJANA.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RM257 juta pula dimanfaatkan sektor perniagaan di negeri itu.

Jelasnya, bantuan sebanyak RM3.8 juta diperuntuk melalui projek-projek kecil.

Menerusi program Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 di Kuala Terengganu, pengusaha industri pelancongan, minyak, gas dan petrokimia yang terkesan dengan penularan COVID-19 dapat memberi maklumbalas mengenai bantuan yang sudah disalurkan dan cadangan penambahbaikan Belanjawan 2021.

Tambah Tengku Datuk Seri Zafrul, selain menjaga kebajikan rakyat, Belanjawan 2021 menfokuskan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Di Terengganu misalnya, sumber semulajadi, warisan budaya dan anugerah alam sekitar antara yang mempunyai potensi, akan dikaji untuk dibangunkan.

Malaysia yang turut berdepan masalah ekonomi akibat wabak COVID-19 bersama 150 negara lain mula menunjukkan tanda pemulihan.

Data ekonomi bulan Jun 2020 menunjukkan perbelanjaan dan sentimen pengguna semakin memberangsangkan.