Sunday, 27 September 2020

updated 2:45 PM UTC, Sep 27, 2020

BELANJAWAN 2021: Fokus pertingkat kualiti pendidikan, wujudkan kerjaya kepada golongan belia

  • Published in Ekonomi

PETALING JAYA, 6 Ogos - Memperkasakan belia disenarai sebagai antara intipati dalam merangka Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November depan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata elemen berkenaan akan merangkumkan beberapa tonggak antaranya pendidikan berkualiti, peluang mendapatkan pekerjaan dan pengembangan kerjaya.

Selain itu, akses kepada kesihatan dan makanan yang baik serta peluang keusahawanan akan turut diberi perhatian.

Tambah beliau, agenda itu membolehkan golongan belia memanfaatkan perkembangan teknologi dan digital, untuk tampil dengan cara yang lebih inovatif bagi penyelesaian masalah.

Ia seterusnya dapat membantu negara mencapai salah satu sasaran yang diletakkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu iaitu pembangunan mampan.

Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Awam anjuran Selangor Youth Community di Petaling Jaya.

Turut sama dalam sesi berkenaan ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.