Friday, 7 August 2020

updated 12:31 AM UTC, Aug 7, 2020

'SUPERB 2020' galak usahawan fokus e-dagang

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB kini kembali untuk siri ke-15.

Bagi edisi tahun 2020, SUPERB memfokuskan dan menekankan produk berinovasi dan model perniagaan yang kreatif, selaras dengan keutamaan kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran, memantapkan aktiviti perniagaan dan menggalakkan peralihan perniagaan tempatan kepada e-dagang dan ekonomi gig.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, untuk program kali ini, pihaknya menggalakkan penghasilan produk apa sahaja yang boleh dikomersialkan yang bersesuaian dengan gaya hidup.

Tema program SUPERB 2020 berteraskan enam tema utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memfokus dalam menaikkan 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama, KEGA iaitu ekonomi digital, revolusi perindustrian 4.0, Perusahaan sosial, ekonomi perkongsian, bidang seni dan kreatif, kesihatan, inovasi makanan dan pertanian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera 2020.

SUPERB merupakan salah satu program TERAJU dalam memperkasakan usahawan Bumiputera yang mempunyai idea bernas yang tuntas bagi diketengahkan , menyokong pertumbuhan keusahawanan negara.

Sejak dilancarkan pada 2014, SUPERB berjaya melahirkan 183 usahawan Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM144.5 juta.