Tuesday, June 2, 2020

updated 10:45 AM UTC, Jun 2, 2020

KWSP lulus pengeluaran i-LESTARI kepada 3.5 juta pencarum

  • Published in Ekonomi


KUALA LUMPUR, 9 Mei - 
Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) telah meluluskan pengeluaran Akaun 2 kepada 3.5 juta pencarum berjumlah RM 1.66 bilion sejak pengeluaran i-Lestari dilancarkan April lepas.

Amaun yang dipohon oleh pencarum yang telah diluluskan, mula dikreditkan ke akaun masing-masing sejak 4 Mei lalu.

Proses pengkreditan akan berlanjutan sehingga 18 Mei ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, dalam satu kenyataan berkata, inisiatif i-Lestari KWSP yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 40 bilion itu akan menyediakan kecairan dalam ekonomi negara secara purata RM 3.3 bilion sebulan.

Tambahnya, agregat kecairan ini diperlukan bukan sahaja bagi membantu rakyat untuk mendapatkan pendapatan boleh guna, tetapi juga akan mewujudkan kecairan dalam pasaran yang diperlukan oleh sektor peruncitan, wang bertukar tangan dan mewujudkan kesan berganda pada ekonomi negara.

Datuk Abdul Rahim berkata, darurat kesihatan ini telah menguncupkan aliran tunai di pasaran akibat ramai rakyat tempatan kehilangan sumber pendapatan, selain kemerosotan sektor perkhidmatan pelancongan negara.

Tambahnya, bagi membangunkan semula ekonomi, memerlukan masa kerana gelombang pandemik virus ini menjejaskan semua pihak di seluruh dunia.

Ia diharap akan reda dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun agar semua sektor dapat dipulihkan semula.

Menerusi i-Lestari, pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM 500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dari Akaun 2 masing-masing.