Tuesday, June 2, 2020

updated 10:28 AM UTC, Jun 2, 2020

Pelaksanaan PKPB mampu tingkat kadar KDNK negara

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mampu meningkatkan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Kelonggaran diberi kerajaan kepada beberapa sektor untuk kembali beroperasi, mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan kini masih terlalu awal untuk membuat anggaran berhubung KDNK.

Bulan lalu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan KDNK tahun ini di antara negatif 2 peratus hingga 0.5 peratus, berbanding pertumbuhan pada 4.3 peratus tahun lalu.

Beliau yang ditemui RTM selepas program Bicara Naratif turut optimis kerugian negara juga akan berkurangan sepanjang tempoh PKPB ini.

Ia tidak akan mencecah jumlah sehingga RM2.4 bilion sehari, sekiranya PKP disambung sebulan lagi, sepertimana pernah diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pelaburan lebih besar dalam bidang pendigitalan dan komunikasi perlu dilakukan supaya dapat digandingkan dengan budaya norma baharu.