Sunday, May 31, 2020

updated 1:53 PM UTC, May 31, 2020

Semua pelajar dihantar pulang secara berperingkat bermula 28 April

  • Published in Nasional

SINTOK, 26 April - Universiti Utara Malaysia (UUM) dilantik sebagai Ketua Zon Utara bagi merancang, menyelaras dan menguruskan penghantaran pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Zon Utara yang terkandas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua pelajar terlibat akan dihantar pulang ke destinasi masing-masing secara berperingkat bermula 28 April ini.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abd Ghani dalam satu kenyataan memaklumkan, jadual pergerakan pulang melibatkan 3,000 pelajar UUM dan pelajar-pelajar dari Zon Utara telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk pergerakan pelajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurutnya, pergerakan pulang dari Zon Utara ke Lembah Klang fasa pertama akan dilakukan pada 28 April dan fasa kedua pada 12 Mei.

Manakala pergerakan dalam Zon Utara melibatkan Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pada 29 April.

Bagi pergerakan ke Zon Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu, pergerakan pulang pelajar akan dilakukan pada 2 Mei diikuti Perak pada 5 Mei.

Pada 9 Mei pula, pergerakan pulang ke Zon Selatan melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ia diikuti pergerakan ke Perak pada 5 Mei; Zon Selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 9 Mei dan pergerakan ke Lembah Klang fasa ke dua pada 12 Mei.

Sementara itu, bagi pergerakan ke Sabah dan Sarawak akan dilakukan pada awal Mei dan tarikh sebenar akan dimaklumkan kemudian.