Sunday, May 31, 2020

updated 1:53 PM UTC, May 31, 2020

Hidupkan ibadah Ramadan di kediaman masing-masing - Zulkifli Mohamad

  • Published in Nasional


KUALA LUMPUR, 24 April - Umat Islam diingatkan supaya tidak mengerjakan solat fardu, solat Jumaat dan solat tarawih secara berjemaah di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebaliknya menasihatkan umat Islam agar menghidupkan ibadah dan tradisi Ramadan di kediaman masing-masing.

"Kita sedang memasuki Ramadan dalam era new normal. Tidak ada solat solat fardhu berjemaah, solat jumaat dan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau dalam tempoh PKP. Tidak ada juga majlis berbuka puasa di masjid dan surau dalam tempoh PKP.

"Tidak ada juga moreh selepas selesai solat tarawih dalam tempoh PKP. Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah. Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usha memelihara agama (hifz aldin) dalam maqasid al-syariah," jelasnya.

Umat Islam dan rakyat perlu mematuhi tempoh PKP kerana usaha menyelamatkan nyawa lebih penting ketika berdepan pandemik COVID-19.

Perkara itu dipersetujui ulama dari seluruh dunia memandangkan usaha memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 adalah keutamaan pada masa sekarang.