Wednesday, 15 July 2020

updated 11:53 AM UTC, Jul 15, 2020

Majikan dinasihat ambil tindakan yang mengutamakan kebajikan pekerja

  • Published in Ekonomi

 

KUALA LUMPUR, 15 Mac -Berikutan penularan Covid-19, majikan termasuk Malaysia Airlines Bhd (MAB) dinasihat mengambil tindakan yang mengutamakan kebajikan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan dalam satu kenyataan berkata, antara tindakan yang perlu diambil ialah mematuhi peruntukan undang-undang Perburuhan, Perjanjian Kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan, C-O-C.

Majikan juga perlu meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan.

Menurut beliau, Kementerian akan sentiasa memantau dan menasihat mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan daripada penularan virus yang melibatkan kebajikan pekerja.

Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat.

Datuk M Saravanan memaklumkan, dalam satu mesyuarat bersama pengurusan MAB, 11 Mac lalu, pihaknya telah dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal diambil MAB sejak berlakunya penularan Covid-19.

Ini termasuk penerangan kepada semua pekerja oleh ketua pegawai eksekutif syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus pada 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, pihak MAB memaklumkan bahawa proses lantikan baru dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

Selain itu, para pekerja juga digalak untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela untuk tempoh tiga bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak lima hari sebulan bagi tempoh tiga bulan.

Kementerian juga dimaklumkan buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja dan ia adalah langkah terakhir yang akan difikirkan MAB.