Friday, May 29, 2020

updated 4:56 AM UTC, May 29, 2020

Terlepas hukuman gantung, mahkamah tawarkan pertuduhan "memiliki berbanding mengedar dadah"

  • Published in Jenayah

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kuala Terengganu, seorang pekerja kilang keropok terlepas hukuman gantung apabila ditawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah.

Tertuduh, Ismail Ahmad, 39 tahun dikenakan hukuman penjara 13 tahun serta 23 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki tiga jenis dadah iaitu kanabis, heroin dan methamphetamine.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama pilihan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 104.51 gram.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu, 18 Jun tahun lalu.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memiliki heroin seberat 13.88 gram dan methamphetamine seberat 5.60 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 13 tahun dan 10 sebatan serta tiga tahun dan tiga sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 18 Jun 2019.