Monday, 28 September 2020

updated 4:46 AM UTC, Sep 28, 2020

Jumlah kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat meningkat kepada 9 orang

  • Published in Berita Dunia

AMERIKA SYARIKAT, 5 Mac - Kebimbangan mengenai Coronavirus semakin meningkat apabila jumlah kematian di Amerika Syarikat telah bertambah kepada sembilan orang di negara itu.

Semua kematian terbaharu berlaku di Washington dan kebanyakannya adalah warga di pusat jagaan di bandar Seattle.

Pusat jagaan ini telah mengharamkan kunjungan ahli keluarga sehingga notis lanjut dan pendaftaran penghuni baharu dibekukan.

Satu lagi kematian disahkan di Pusat Perubatan Harborview di Seattle.

Jumlah jangkitan di Amerika Syarikat kini meningkat lebih dari seratus orang.

Coronavirus telah tersebar di sekurang-kurangnya 15 negeri dengan 27 kes di Washington.

Berikutan wabak semakin meningkat, pihak berkuasa Seattle telah menyediakan rumah kuarantin untuk pesakit Coronavirus.

Penyelidik di Washington percaya bahawa virus itu telah merebak tanpa dapat dikesan selama berminggu-minggu.

Ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa terdapat ratusan kes yang tidak didiagnosis di kawasan itu.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga telah melawat Institut Kesihatan Kebangsaan bagi mendapatkan perkembangan terkini usaha membangunkan vaksin Coronavirus.