Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Untung FGV susut 54 peratus suku kedua tahun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Untung FGV Holdings Berhad (FGV) susut 54 peratus bagi suku kedua tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan, kemerosotan prestasi kewangan itu disebabkan penurunan 19 peratus harga minyak sawit mentah (MSM) dan kerugian dalam sektor gula.

Katanya, FGV mencatat keuntungan sebelum cukai dan faedah sebanyak RM23 juta bagi suku kedua tahun ini, berbanding RM50 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Pendapatan FGV juga lebih rendah iaitu RM3.28 bilion bagi suku yang dikaji berbanding RM3.44 bilion tempoh sama tahun lepas.

Namun, Datuk Haris menyatakan prestasi operasi bertambah baik dengan hasil yang lebih tinggi dan kos operasi yang jauh lebih rendah.

Berkenaan unjuran harga MSM untuk tempoh enam bulan akan datang, beliau menjangkakan MSM akan diniagakan antara RM2,000 hingga RM2,200 satu tan.

Ia dipacu oleh permintaan tinggi bagi Biodiesel B30 dan B10 di Malaysia dan Indonesia serta perang dagang antara Amerika dan China yang semakin tegang.

FGV juga akan menyemak semula kawasan penanaman melibatkan 11,000 hektar bagi proses penanaman semula anak sawit baharu memandangkan umur kelapa sawit di ladang berkenaan masih belum matang.