Wednesday, September 18, 2019
updated 2:07 PM UTC, Sep 18, 2019

Malaysia yakin 4 sasaran pelaksanaan Dasar Kebangsaan IR 4.0 akan tercapai pada 2025

  • Published in Ekonomi

HANOI - Malaysia yakin mampu meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh, sumbangan sektor pembuatan dalam KDNK negara, kapasiti inovasi serta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, empat sasaran itu bakal dicapai menjelang 2025 menerusi pelaksanaan Dasar Kebangsaan mengenai Revolusi Industri (IR 4.0).

Berucap di hadapan lebih 100 pelajar FPT University di Hanoi, Tun Dr Mahathir berkata mengetepikan IR 4.0 bukanlah suatu pilihan.

Selain berpotensi meningkatkan tahap pendapatan sejagat, ia juga mampu memperbaiki kualiti hidup populasi dunia.

Bersandarkan asas pengeluaran yang kukuh pada masa akan datang, Malaysia tegas beliau sudah bersedia mengadaptasi industri 4.0.

Negara juga berpotensi menjadi rakan strategik untuk pengeluaran pintar dan perkhidmatan berkaitan di rantau Asia Pasifik.

Bagi Malaysia yang masih bergantung kepada tenaga asing untuk sektor pengeluaran, sudah tiba masanya rakyat bersedia mengguna pakai teknologi baharu untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti, sekaligus mengembangkan pasaran menerusi platform digital.

Tun Dr Mahathir sekali lagi mengingatkan bahawa Revolusi Industri 4.0 adalah kemajuan era penyatuan digital, fizikal dan biologikal yang tidak dapat dibayangkan serta menjanjikan pelbagai ujian dan cabaran.