Saturday, 28 November 2020

updated 9:00 AM UTC, Nov 28, 2020

Penularan Coronavirus berterusan akan jejas ekonomi negara

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 Feb - Penularan wabak Coronavirus yang berlarutan dalam tempoh masa panjang dan memberi kesan ke atas ekonomi China akan turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

Ini kerana China merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia.

Menurut kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini antara sektor yang dijangka menerima kesan ialah sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pendidikan, pembuatan dan pembinaan.

Tahun lalu, Malaysia menerima hampir 26 juta pelancong dengan lebih 3 juta daripadanya adalah pelancong China.

Sektor pelancongan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Di samping itu, sektor pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada input daripada China juga dijangka akan terkesan sekiranya China memanjangkan tempoh kuarantin atau menambah bilangan bandar yang akan ditutup bagi menyekat penyebaran wabak tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, Kerajaan bersama-sama agensi antarabangsa serta pihak swasta akan mengambil langkah proaktif berasaskan fakta dan maklumat terkini bagi mengurangkan kesan negatif penularan wabak tersebut ke atas ekonomi Malaysia.

Tahun ini ujar beliau, pihak kementerian telah menyediakan peruntukan sebanyak RM227 juta untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan kepada semua kemudahan kesihatan di seluruh negara.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga bersedia untuk mempertimbang tambahan peruntukan sekiranya diperlukan.