Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Lynas berpotensi raih manfaat perang dagangan AS-China

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Lynas Corp yang mengendalikan kilang pemprosesan nadir bumi yang mencetuskanh kontroversi di Gebeng, Kuantan berpotensi untuk muncul sebagai pemenang dalam perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang masih berlanjutan.

Satu kenyataan kalangan pengeluar nadir bumi China baru-baru ini mengenai kesediaan memanfaatkan dominasi mereka dalam pertikaian dagangan dengan Washington, akan hanya memaksa pelanggan mereka di AS mencari sumber lain bagi mendapatkan mineral berharga itu.

Sebagai pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, Lynas Corp dan kilang pemprosesan bernilai 3.35 bilion ringgit di Malaysia itu dilihat dapat meraih pelbagai manfaat sekiranya Beijing memutuskan untuk menjadikan eksport nadir buminya ke Amerika sebagai satu senjata dagangan.

Malah, syarikat yang disenaraikan di Australia itu juga berkemungkinan besar menyaksikan lonjakan permintaan terhadap produknya jika pengeluar nadir bumi China memutuskan untuk akur kepada sebarang tarif dikenakan Washington.

Langkah sedemikian akan meningkatkan harga mineral nadir bumi itu serta produk berkaitannya di Amerika .

Selain itu menyebabkan pelanggan terbabit mencari sumber lebih murah selain China.

China adalah pengeluar nadir bumi terbesar dunia dan menyumbang lebih 80 peratus daripada pengeluaran bahan berkenaan di peringkat global.