Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua mapan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) setinggi 4.0 peratus pada Mei 2019 berbanding tahun lalu mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang kekal mampan pada suku kedua tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, sejak Januari hingga Mei 2019, IPP negara berkembang sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu

Jelas Guan Eng, situasi tersebut ternyata berbeza dengan trend pengeluaran perindustrian bagi negara ASEAN lain yang didapati menguncup pada tempoh sama seperti di Filipina, Singapura dan Thailand - masing-masing menjunam sebanyak 2.1, 2.4 dan 4.0 peratus tahun-ke-tahun.

Selain itu, ekonomi Singapura hanya berkembang 0.1 peratus tahun ke tahun bagi suku kedua 2019 iaitu penguncupan 3.4 peratus suku ke suku.

Tambah Guan Eng, trend ekonomi di rantau Asean merupakan kesan awal dari perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlanjutan.

Dalam pada itu, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan semua sektor dalam suku pertama 2019 turut meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 billion berbanding RM16.9 billion tahun lalu.

Peningkatan mendadak itu disebabkan kenaikan 127 peratus untuk FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan kepada 20.2 billion ringgit daripada 8.9 billion tahun lalu.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan mengumumkan peningkatan IPP sebanyak empat peratus pada Mei 2019 berbanding bulan sama tahun lalu.

Peningkatan IPP berkenaan didorong oleh peningkatan dalam indeks elektrik iaitu 5.7 peratus, pembuatan sebanyak 4.2 peratus dan perlombongan tiga peratus.