Monday, August 26, 2019
updated 3:38 AM UTC, Aug 26, 2019

KWSP catat pendapatan pelaburan RM9.66 bilion bagi suku pertama

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM9.66 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019, lebih rendah berbanding suku sama tahun lalu iaitu sebanyak RM12.88 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif melalui satu kenyataan berkata, dalam keadaan ekonomi dan pasaran dunia dan domestik semasa, prestasi yang dicatatkan KWSP adalah baik.

Bagi suku dikaji, ekuiti yang merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan dana persaraan pekerja swasta itu terus menjadi penyumbang utama pendapatan sebanyak RM4.16 bilion.

Ia merupakan 43 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tahun ini.

Katanya, turun naik pasaran kelas aset ekuiti serta impaknya ke atas pendapatan telah disokong oleh kumpulan aset KWSP lain yang lebih stabil seperti pendapatan tetap.

Ia mempunyai potensi untuk memberikan pulangan lebih tinggi dalam jangka panjang.

Sebanyak 50 peratus pelaburan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap.