Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Langgar SOP cegah COVID-19, TFC dan MFL 'dilayangkan' kompaun RM10,000

  • Published in Covid19

KUALA TERENGGANU, 25 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM20,000 susulan isu berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 itu dikenakan terhadap tuan rumah, TFC dan Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur perlawanan.

Pihaknya telah menjalankan siasatan dan penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna semasa perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun Datuk Dr Kasemani berkata, pengurusan TFC mematuhi peraturan lain iaitu menyediakan QR kod MySejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki stadium.

Beliau turut menasihatkan agar setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan diri masing-masing tidak mendapat jangkitan dan tidak menjangkiti orang lain.