Tuesday, 26 October 2021

updated 11:41 AM UTC, Oct 26, 2021

Dos penggalak bantu rangsang tindak balas sistem imun

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 akan membantu merangsangkan tindak balas sistem imun yang menurun dan meningkatkan peneutralan antibodi untuk melawan varian yang mudah berjangkit.

Pharmaniaga Bhd dalam kenyataan berkata, berdasarkan kajian berkaitan dos penggalak yang dijalankan ke atas populasi dewasa dan warga emas, suntikan ketiga tersebut amat disyorkan.

Syarikat Farmaseutikal itu berkata, perkara tersebut diputuskan oleh pakar yang menghadiri seminar secara maya anjuran syarikat tersebut semalam bertajuk 'Suntikan Dos Penggalak COVID-19 Dan Vaksinasi Untuk Kanak-Kanak : Bergerak Maju Melalui Pengalaman Daripada China, Chile Dan Indonesia'.

Barisan panel seminar berkenaan mengakui pengambilan dos penggalak akan meningkatkan antibodi yang mulai menurun secara ketara dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua.

Salah seorang ahli panel, Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negeri Sinovac Co Ltd, Weining Meng berkata, berdasarkan kajian dijalankan di Akademi Sains Cina, Universiti Peking dan Sinovac Biotech, data yang diperoleh menunjukkan dos ketiga akan menjadikan perlindungan vaksin lebih lama dan mempunyai daya tahan berterusan.