Tuesday, 26 October 2021

updated 12:33 PM UTC, Oct 26, 2021

Dos penggalak diberi kepada warga emas dan petugas barisan hadapan

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 14 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan dos penggalak kepada warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan yang lalu.

Individu layak akan dimaklum melalui aplikasi MySejahtera, bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan menjelaskan, pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Objektif pemberian bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerima vaksin.

Dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberi kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa.

Pemberian dos penggalak akan diteraju klinik swasta manakala fasiliti kesihatan kerajaan pula akan memberi vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing.

Pemberian dos tambahan pula akan diberi kepada individu yang mempunyai imuniti rendah termasuk pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.