Tuesday, 26 October 2021

updated 11:41 AM UTC, Oct 26, 2021

Tiada keperluan ujian saringan COVID-19 ke Langkawi berkuatkuasa hari ini

  • Published in Covid19

PARLIMEN, 12 Oktober - Pengembara ke Langkawi tidak lagi perlu menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan media berkata, langkah itu diambil selepas menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan dan mendapati peratusan pelancong yang dikesan positif semasa saringan adalah rendah.

Bagaimanapun, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, para pelancong digalakkan melakukan ujian COVID-19 sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Manakala syarat wajib bagi melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan perlu dipatuhi.

Sehingga 10 Oktober seramai 54,341 pelancong telah jalani ujian pengesanan dan daripada jumlah itu 216 orang atau 0.4 peratus sahaja yang dikesan positif jangkitan itu.

Sementara itu, bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat masih tidak dibenarkan melancong.