Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

KKM tidak lagi guna formula imuniti kelompok

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 23 September - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung COVID-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam sidang Dewan Rakyat berkata, pakar kesihatan dunia kini berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus terjejas.

Penjelasan itu merujuk persoalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengenai kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia, masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

Justeru, kementerian juga, tegasnya sedang giat 'menjejaki' golongan atau individu yang masih belum atau enggan menerima vaksin menerusi kaedah outreach.

Ketika menggulung usul titah diraja bagi kementerian kesihatan, Khairy turut memaklumkan, daripada keseluruhan 18,986,347 individu yang menerima vaksin lengkap, hanya 1.4 peratus mendapat jangkitan.

Daripada angka itu juga, 1,734 atau 0.7 peratus telah meninggal dunia.