Monday, 18 October 2021

updated 4:33 AM UTC, Oct 18, 2021

Thailand pertimbang hantar Sajjad pulang, perlu ikut banyak prosedur termasuk undang-undang imigresen

  • Published in Covid19

SHAH ALAM, 23 September - Thailand sedang mempertimbangkan untuk menghantar pulang pengusaha kosmetik, Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand serta didakwa atas kesalahan imigresen.

Timbalan Komander dan jurucakap Biro Imigresen Thailand, Mejar Jeneral Achayon Kraithong berkata, Muhammad Sajjad ditahan kerana masuk secara haram ke negara berkenaan

Menurut Achayon, terlalu banyak prosedur yang perlu diikuti untuk menghantar pulang Muhammad Sajjad termasuk dalam aspek undang-undang imigresen, namun ia masih boleh dipertimbangkan.

Bagaimanapun, difahamkan pihak berkuasa Thailand masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai perkara ini.

Muhammad Sajjad sebelum ini ditahan pegawai imigresen Thailand pada 8 September kerana memiliki pasport tidak sah dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 10 September.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

Muhammad Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.