Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

Pelajar IPT kembali ke kampus, secara berperingkat mulai 15 Oktober

  • Published in Covid19

PUTRAJAYA, 14 September - Kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Ia melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi COVID-19, merangkumi semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Memaklumkannya menerusi sidang media secara maya, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain pelajar, hanya staf yang telah lengkap vaksinasi, serta melepasi tempoh keberkesanan vaksin, dibenarkan untuk berada di kampus.

Kemasukan pelajar juga tertakluk kepada kapasiti IPT dan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Mengenai pergerakan pelajar kembali ke kampus, Datuk Seri Dr Noraini berkata, proses kemasukan mengikut kalendar akademik IPT.

Bagi pelajar IPT di Semenanjung, mereka hanya perlu mendapatkan surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT masing-masing.

Manakala pelajar IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan negeri masing-masing.

Datuk Seri Dr Noraini turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di universiti awam bagi semester satu sesi 2021/2022.

Ia bakal memanfaatkan 555,340 pelajar, melibatkan RM175 juta.