Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan, KKM bimbang penularan COVID-19

  • Published in Covid19

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh hari ini, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan itu, selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan.

Dalam notis sama, Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk tidak bersidang pada Isnin ini.

Semalam, Tan Sri Dr. Noor Hisham memaklumkan, 11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen ketika persidangan berlangsung.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 untuk sesi Dewan Rakyat sepatutnya berlangsung selama lima hari dari 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala untuk Dewan Negara selama tiga hari mulai 3 Ogos.