Logo

Aktiviti penggambaran di negeri Fasa Dua PPN, FINAS ingatkan syarikat produksi patuh SOP

KUALA LUMPUR, 22 Julai - Semua syarikat produksi drama, iklan dan dokumentari yang layak membuat penggambaran luar studio di negeri berstatus Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) diingatkan untuk mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, syarikat produksi mestilah melaksanakan penggambaran luar yang terasing, terhad dan terkawal mengikut Protokol Gelembung Penggambaran di negeri-negeri terlibat.

Menurut beliau, maklumat lanjut berkaitan garis panduan termasuk borang permohonan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas boleh didapati dalam laman web FINAS.

Tatacara permohonan dan soalan-soalan lazim berkaitan aktiviti penggambaran filem dengan syarat yang diperketatkan pada Fasa Dua PPN boleh didapati dengan melayari www.finas.my atau menghubungi Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS.

Tambah beliau, kelonggaran itu dalam usaha bersepadu kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Finas untuk memperkasa aspek pengurusan, keselamatan, kesihatan dan pencegahan dalam aktiviti penggambaran bagi mengawal risiko jangkitan COVID-19.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.