Wednesday, 1 February 2023

 

Jangkitan harian COVID-19 kekal bawah 500 kes

  • Published in COVID-19

PUTRAJAYA, 20 Januari- Kes harian COVID-19 yang dilaporkan kekal di bawah 500 kes sejak pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari lepas, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaporan kes harian COVID-19 kekal tiga digit sejak 17 Disember lepas (2022).

Berdasarkan laporan, sejumlah 28,705 pengembara dari China dilaporkan tiba di Malaysia sejak 8 Januari hingga 17 Januari lepas.

Setakat ini, hanya seorang daripada pengembara tersebut dikesan mengalami demam semasa saringan namun ujian RTK-Ag yang dijalankan terhadap pengembara tersebut adalah negatif.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata berlaku peningkatan tren dalam pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara sejak dua minggu lepas.

(Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa / FOTO BERNAMA)

Berbanding 1 Januari 2023, pengambilan dos penggalak pertama meningkat daripada 49.8% atau 16,279,746 dos kepada 49.9% iaitu sebanyak 16,292,524 dos, manakala dos penggalak kedua meningkat iaitu sebanyak 2.2% atau 733,668 dos berbanding 1.9% atau 633,941 dos.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kerjasama bersama negara ASEAN dan juga China.