Sunday, 2 October 2022

COVID-19: 2,356 kes baharu, sembilan kematian direkodkan

  • Published in COVID-19

PUTRAJAYA, 2 September- Kes harian COVID-19 di negara ini masih dalam lingkungan 2,000 dengan 2,356 kes direkodkan setakat tengah malam tadi.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 2,351 kes penularan tempatan dengan lima lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ini menjadikan sehingga kini jumlah penularan COVID-19  mencecah 4,784,980 kes sejak ia dikesan di negara ini.

Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 31,463 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 95.6 peratus bersamaan 30,084 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu terdapat 1,285 kes atau 4.1 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (20), unit rawatan rapi (ICU) (74) dengan 46 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.


(FOTO FAIL)

Sementara itu bagi kadar penggunaan wad ICU berada di paras 64.1 peratus bagaimanapun, yang digunakan untuk pesakit COVID-19 sahaja adalah 19.8 peratus.

Dalam pada itu, terdapat sembilan kes kematian dilaporkan semalam, ia termasuk tiga kes meninggal dunia diluar fasiliti kesihatan (BID).

Pertambahan itu menjadikan sehingga kini jumlah angka korban di negara ini sudah mencecah 36,225 kes dengan 7,699 kes pula meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi jumlah kes sembuh di negara ini pula, setakat semalam terdapat sebanyak 1,875 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,717,292 kes.