Sunday, 2 October 2022

COVID-19: Kes jangkitan kembali lepasi 3,000

  • Published in COVID-19

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

PUTRAJAYA, 26 Ogos- Jangkitan COVID-19 di negara ini kembali melepasi 3,000 iaitu sebanyak 3,206 kes dilaporkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data dalam laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 3,202 kes penularan tempatan dengan empat kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan itu menjadikan jumlah jangkitan COVID-19 di negara ini sehingga kini meningkat kepada 4,768,394.

Negara masih mencatatkan sebanyak 35,988 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 34,626 kes atau 96.2 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 1,271 kes bersamaan 3.5 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (22), unit rawatan rapi (69) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan, penggunaan ICU di negara ini sudah mencapai paras 63.4 peratus, bagaimanapun untuk kegunaan pesakit COVID-19 sahaja adalah 18.5 peratus.

Sementara itu, mengenai kes kematian, semalam terdapat lapan kematian dilaporkan dengan satu kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan jumlah angka korban di negara ini meningkat kepada 36,185 kes dan daripada jumlah itu 7,690 kes adalah kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi kes pulih di negara ini pula sebanyak 2,180 kes dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh daripada virus berkenaan adalah 4,696,221 kes.


(FOTO FAIL)