Sunday, 2 October 2022

COVID-19: Rakyat dinasihat berwaspada, tidak alpa SOP yang digariskan

  • Published in COVID-19

BANGI, 7 Julai- Wabak COVID-19 masih jauh untuk beralih kepada penyakit endemik malah ia masih boleh mencetuskan wabak besar di negara.

Demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali menegaskan adalah silap untuk menganggap jangkitan virus itu sudah reda dan menjadi endemik.

"Keadaan sekarang ini penularan COVID-19, kita dah ada subvarian Omicron BA.4 dan BA.5. Negara sekeliling kita di Asia Tenggara banyak yang dah kena. Di Malaysia hari ini, beberapa kes dah ada. Walaupun keadaan terkawal, kebanyakan kes kategori 1 dan 2 namun ada juga kategori 3 dan 4.

Statistik data menerusi laman web COVIDNOW menunjukkan semalam kes dah melebihi 3,000 manakala kes kemasukan ke hospital juga meningkat. Selain itu, kes rujukan dari CAC ke hospital, penggunaan wad ICU dan ventilator pun sama juga ada peningkatan," kata Datuk Dr. Noor Azmi ketika ditemui pemberita RTM selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kerusi Roda dan Bantuan Ihsan Kepada 89 Keluarga Terkesan Dengan Sindrom Post- Covid Dan Post-Omicron di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU, di sini.


(Foto Fail)

Tambahnya, rakyat dinasihat untuk terus mematuhi SOP yang digariskan kerajaan dan KKM dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 lebih meluas.

Ia susulan beberapa negara sekitar negara kini merekodkan jangkitan tersebut seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia.