Sunday, 2 October 2022

Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan

  • Published in COVID-19

ROM, 1 Julai- Itali pada Khamis mengemas kini protokol kesihatan COVID-19 di tempat kerja, susulan jumlah jangkitan di negara itu terus meningkat.

Peraturan baharu itu, yang dibangunkan Kementerian Buruh dan Dasar Sosial bersama Kementerian Kesihatan, mewajibkan penggunaan pelitup muka bagi mereka yang mempunyai risiko kesihatan tertentu atau di tempat kerja yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

Garis panduan itu juga menggalakkan "gerak kerja pintar" -- bekerja dari rumah dan bukan di pejabat -- waktu bekerja secara penggiliran dan aturan keluar masuk secara khusus di kawasan umum seperti pantri dan bilik persalinan.

Protokol itu turut terpakai bagi sektor swasta, dan pekerja diminta melakukan pemeriksaan suhu badan.

Peraturan itu dikuatkuasakan susulan bilangan jangkitan bertambah teruk dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut laporan Yayasan Gimbe, sebuah entiti pemantauan kesihatan, jangkitan mingguan COVID-19 di negara itu meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, berbanding seminggu sebelumnya, lapor Xinhua.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, Yayasan Gimbe juga memaklumkan kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 meningkat lebih 25 peratus dalam tempoh sama.

(Foto fail)

Sementara itu, mereka yang dirawat di unit rawatan rapi bertambah sebanyak 15 peratus, dan kadar kematian mingguan meningkat sebanyak 16 peratus.

Itali melaporkan lebih 83,000 kes jangkitan baharu pada Khamis, berbanding 94,000 kes sehari sebelumnya. -BERNAMA