Sunday, 2 October 2022

COVID-19: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu

  • Published in COVID-19

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Kes baharu harian positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) seluruh negara menunjukkan trend peningkatan pada minggu epidemiologi ke-25 berbanding minggu ke-24.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ia berdasarkan data CAC Fizikal yang menunjukkan peningkatan kes dan kedatangan pesakit selain yang menjalani pemantauan di rumah.


(Foto fail)

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 11 peratus pada ME ke-25 berbanding minggu sebelumnya.

Jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 28 peratus, dengan pesakit kategori 1 dan 2 meningkat 14 peratus manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5 meningkat 45 peratus, katanya.

Bagaimanapun jumlah kes sembuh turut meningkat sebanyak 38 peratus kepada 14,078 kes dalam tempoh tersebut.

Kes baharu juga turut meningkat sebanyak 10.9 peratus dimana majoriti peningkatan kes melibatkan kes import.

Secara puratanya, kes aktif bagi setiap hari dalam minggu epidemiologi ke-25 adalah 26,946 iaitu peningkatan sebanyak 12.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Bagi bilangan kes kematian pada tempoh tersebut mencatatkan penurunan dengan 13 kes kematian direkodkan.