Saturday, 25 June 2022

Kumulatif kes COVID-19 di Malaysia mencecah 4,524,727

  • Published in COVID-19

KUALA LUMPUR, 13 Jun - Bilangan kes baharu COVID-19 bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 dari 5 hingga 11 Jun meningkat sebanyak 0.4 peratus iaitu 11,096 kes berbanding 11,052 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-22).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 4,524,727 kes.

Purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-23 pula menurun sebanyak 5.5 peratus iaitu 22,013 kes berbanding minggu sebelumnya.

"Purata kadar kebolehjangkitan COVID-19 (nilai Rt) pula menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus iaitu 0.96 berbanding 0.91 pada minggu sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau bilangan kes sembuh pada ME ke-23 menurun sebanyak 21.7 peratus (13,797 kes kepada 10,806 kes) berbanding ME ke-22, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,466,305.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian pada ME ke-23 juga menunjukkan penurunan kepada 3.8 peratus, dengan 25 kes berbanding 26 kes pada minggu sebelumnya menjadikan kumulatif kematian kini 35,711.

(FOTO FAIL)

Sementara itu jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

"Namun begitu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20 peratus. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun sebanyak 20 peratus.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil PKRC meningkat sebanyak 200 peratus dan penggunaan katil bukan kritikal juga meningkat sebanyak lapan peratus manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 17 peratus," katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan dengan kedatangan pesakit ke CAC berkurangan sebanyak 8.7 peratus dan bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah juga menurun sebanyak 0.5 peratus.

Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital pula meningkat sebanyak 51.9 peratus.