Saturday, 25 June 2022

COVID-19 pacu perubahan Asia Tenggara ke arah masyarakat tanpa tunai - Kajian

  • Published in COVID-19

BANGKOK, 3 Jun- Pandemik COVID-19 telah memacu Asia Tenggara ke arah masyarakat tanpa tunai, manakala eCommerce terus berkembang apabila ramai pengguna mula beralih kepada saluran baharu beli-belah, menurut laporan terkini Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa.

Menurut laporan itu, 93% pengguna menggunakan pelbagai kaedah pembayaran tanpa tunai termasuk kad, kad tanpa sentuh dan pembayaran tanpa sentuh mudah alih, dompet mudah alih dan kod QR.

“Paling ramai pengguna di Singapura (97%), Malaysia (96%), Indonesia (95%) dan Vietnam (95%). Bagaimanapun, semakin ramai pengguna memilih pembayaran tanpa tunai di pasaran yang wang tunai kekal dominan, seperti Kemboja, Filipina dan Vietnam,” menurut kajian itu.

Hampir empat daripada lima pengguna Asia Tenggara merancang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai lebih kerap, terutamanya di Thailand (89%), Vietnam (83%), Malaysia, Indonesia dan Filipina (78%).

“Ini mungkin disebabkan tiga daripada empat (75%) pengguna menganggap kaedah tanpa tunai sebagai cara pembayaran lebih selamat, terutamanya di Thailand (86%), Vietnam (80%) dan Filipina (79%).

“Jadi, hampir 72% pengguna Asia Tenggara menyokong rancangan kerajaan untuk membangunkan negara menjadi masyarakat tanpa tunai dan 68% lagi lebih suka membeli-belah di kedai yang terima bayaran tanpa tunai,” menurut laporan itu.

(Foto fail)

Kajian itu mendapati 62% pengguna Asia Tenggara lebih kerap membeli-belah melalui aplikasi atau laman sesawang, bagaimanapun, dengan kemunculan pelbagai pilihan dan pengalaman runcit baharu, pengguna turut menerokai saluran-saluran lain.

Selain itu, hampir separuh pengguna Asia Tenggara (45%) lebih kerap membeli-belah melalui kedai berdekatan (penghantaran terus di rumah selepas membuat pesanan melalui telefon) dan hampir 39% lagi melalui media sosial.

Tinjauan terbaharu itu dibuat dari Ogos hingga September 2021, melibatkan 6,520 pengguna berumur 18 hingga 65 tahun di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja. -BERNAMA