Monday, 27 June 2022

COVID-19: Lebih 1.1 juta kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi

  • Published in COVID-19

PUTRAJAYA, 22 Mei- Sebanyak 1,111,499 atau 31.3% kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 1,671,828 kanak-kanak atau 47.1% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,909,039 atau 93.5% telah lengkap menerima vaksinasi manakala 3,005,679 atau 96.6% daripada kumpulan sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sejumlah 16,078,909 atau 68.3% golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,972,623 atau 97.6% telah lengkap dua dos dan 23,248,575 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

(Foto fail)

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 20,860 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam melibatkan 7,296 dos pertama, 12,179 dos kedua dan 1,385 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,784,541.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak tiga kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan dua kes di Johor manakala satu kes di Pahang.