Monday, 27 June 2022

Menteri kesihatan Komanwel capai konsensus untuk tindakan utama pemulihan pasca COVID-19

  • Published in COVID-19

KUALA LUMPUR, 20 Mei - Menteri kesihatan dari negara-negara Komanwel sepakat untuk bekerjasama dalam beberapa isu utama berkaitan usaha pemulihan pasca COVID-19.

Usaha itu melibatkan ekuiti vaksin, membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan memperkukuh keselamatan kesihatan dengan memanfaatkan teknologi digital.

Komitmen itu dibuat selepas mesyuarat tahunan peringkat tinggi maya selama dua hari yang berakhir semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Jamaica, Dr Christopher Tuftonitu menerima pakai kenyataan bersama yang menggariskan perkara utama dalam menangani cabaran kesihatan yang kompleks ketika ini akibat pandemik.

(GAMBAR FAIL)

"Kenyataan bersama itu menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam memperkukuh keselamatan kesihatan, ekuiti vaksin, dan meningkatkan pelaburan dalam kesihatan bagi mengukuhkan daya tahan sistem kesihatan dan memajukan matlamat Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC)," kata satu kenyataan daripada Sekretariat Komanwel kepada Bernama.

Melalui mesyuarat itu, para menteri juga mengiktiraf keperluan mendesak untuk mempertingkat dan mempercepatkan ekuiti dan kebolehcapaian vaksinasi COVID-19 serta bersetuju untuk bekerjasama bagi memajukan matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memvaksin 70 peratus penduduk di setiap negara pada pertengahan 2022.

Para menteri juga mengemukakan satu set syor utama untuk perbincangan pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel ke-26 (CHOGM) 2022 yang akan berlangsung pada 20-26 Jun di Kigali, Republik Rwanda.

Komanwel ditubuhkan pada 1949 dan Malaysia menyertainya pada 1957.-BERNAMA