Monday, 27 June 2022

FDA AS lulus penggunaan booster Pfizer untuk kanak-kanak 5 - 11 tahun

  • Published in COVID-19

LOS ANGELES, 18 Mei- Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat semalam meluluskan dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun sekurang-kurangnya lima bulan selepas lengkap suntikan vaksin utama.

Pada 3 Januari, FDA meluluskan penggunaan satu dos penggalak vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun selepas lengkap dua dos vaksin.

"Meskipun jangkitan COVID-19 dilihat kurang menjejaskan kanak-kanak berbanding orang dewasa, gelombang Omicron menyaksikan lebih ramai kanak-kanak sakit dan dimasukkan ke hospital serta golongan ini kemungkinan mengalami kesan dalam jangka panjang walaupun pada mulanya hanya bergejala ringan," kata Pesuruhjaya FDA Robert Califf dalam satu kenyataan.

(Foto fail)

"FDA membenarkan penggunaan dos penggalak tunggal vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun bagi memberi perlindungan berterusan terhadap COVID-19," katanya.