Kes baharu COVID-19 meningkat 119% minggu lepas - KP Kesihatan
- Written by Media Baharu
- Published in COVID-19

PUTRAJAYA, 16 Mei- Bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 yang bermula dari 8 Mei hingga 14 Mei, meningkat sebanyak 119.2% iaitu kepada 19,137 kes berbanding 8,732 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-18).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.
Beliau berkata sejajar dengan peningkatan kes harian pada ME ke-19, purata kadar kebolehjangkitan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 70.2% iaitu 0.97 berbanding 0.57 pada minggu sebelumnya.
“Bilangan kes sembuh pada ME ke-19 menurun sebanyak 59.2% atau 30,930 kes kepada 12,618 kes berbanding ME ke-18 dan kumulatif individu pulih ialah 4,410,499.
“Kes kematian pada ME ke-19 menunujukkan sedikit peningkatan iaitu 3.1% (32 kes kepada 33 kes) berbanding ME ke-18 dan menjadikan kumulatif kematian kini 35,612,” katanya dalam kenyataan hari ini.
(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat 38% untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.
“Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat sebanyak 100% melibatkan semua kategori pesakit.
“Secara keseluruhan, peratusan penggunaan katil PKRC meningkat sebanyak 100%, penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 18% manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 10%,” katanya.