Thursday, 26 May 2022

Ibu bapa ambil peluang lindungi anak sebelum PICKids ditutup - Khairy

  • Published in COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Berbaki lapan hari sebelum pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dos pertama ditutup.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru ibu bapa agar mengambil peluang melindungi anak mereka daripada wabak COVID-19.

Menerusi hantaran di akaun Twitter beliau hari ini, Khairy menjelaskan, lebih 1.5 juta kanak-kanak sudah divaksinasi di Malaysia dan ia terbukti selamat.

“Ambillah peluang untuk melindungi anak anda dari COVID-19, Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak (MIS-C) dan komplikasi lain akibat jangkitan, ” katanya menerusi hantaran di akaun Twitter hari ini. 

Menurut laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 1,542, 513 kanak-kanak atau 43.4 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat semalam.

Setakat semalam juga, sejumlah 894,826 atau 25.2 peratus kanak-kanak daripada kumpulan umur yang sama di Malaysia telah lengkap menerima vaksin di bawah PICKids.


(GAMBAR FAIL)

Selepas 15 Mei, vaksin yang diberikan adalah secara berbayar dan jenis yang diberikan ialah Sinovac.

Program PICKids tidak dapat dipanjangkan kerana melibatkan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar selain terdapat usaha memperoleh lebih banyak ubat antiviral.