Thursday, 26 May 2022

PKRC di MAEPS ditutup bulan ini - KKM

  • Published in COVID-19

PUTRAJAYA, 2 Mei- Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, akan ditutup pada bulan ini.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia berikutan kekurangan pesakit di pusat tersebut.

"Walaupun kita ada PKRC MAEPS yang besar tetapi pesakit berkurangan. Jadi, mungkin kita akan tutup dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kalau ada lonjakkan kes, kita dah bersiap sedia dari segi menggunakan ruang-ruang yang ada untuk dijadikan wad dan juga ICU," kata Dr Hisham kepada pemberita RTM.

PKRC MAEPS sebelum ini dibuka semula bagi tujuan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah dan ia antara strategi diambil pihaknya ketika penularan gelombang Omicron.

Menjelaskan kepada RTM, Tan Sri Noor Hisham turut memaklumkan, PKRC MAEPS yang akan ditutup itu akan diganti dengan dua PKRC lain iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahihah dan Hospital Putrajaya.

PKRC MAEPS 2.0 ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit COVID-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung.


(Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang/BERNAMA)