Tuesday, 17 May 2022

KKM buat laporan polis berhubung tuduhan guna plasebo dalam vaksin

  • Published in COVID-19



KUALA LUMPUR, 26 Januari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan penggunaan plasebo dalam vaksin COVID-19 yang digunakan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia.

KKM juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan menegaskan, maklumat yang disampaikan dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial itu, adalah tidak benar.

"Semua produk farmaseutikal termasuk vaksin yang telah diluluskan oleh Pihak berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) adalah dihasilkan melalui pengilang yang mematuhi standard antarabangsa seperti Amalan Perkilangan Baik (GMP), Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," kata kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan untuk bagi produk berdaftar, hanya mengandungi bahan aktif dan eksipien yang telah diperakukan oleh PBKD untuk dipasarkan dan bukan sejenis plasebo.

"Untuk makluman, penggunaan plasebo adalah merupakan satu keperluan dalam sesebuah kajian klinikal di mana ia merupakan intervensi yang tidak mengandungi komponen aktif dapat merawat atau mencegah sesuatu penyakit," menurut kenyataan itu.

Jelas KKM, kumpulan penerima akan dibahagi secara rawak di mana satu kumpulan akan menerima bahan aktif dan satu lagi kumpulan menerima plasebo.

"Situasi ini hanya digunakan semasa kajian klinikal dan bukan dalam produk berdaftar kegunaan PICK," katanya.