Monday, 16 May 2022

Pemberian vaksinasi dos penggalak secara 'walk-in' di Lembah Klang bermula esok

  • Published in COVID-19

 

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus (walk-in) akan kembali ditawarkan mulai esok.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan itu ditawarkan kepada semua penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas, di empat PPV Integrasi sekitar Lembah Klang yang sedang beroperasi ketika ini.

Sejak 15 Januari lalu, empat PPV Integrasi dibuka untuk mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang iaitu di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dan Dewan Soka Gakkai, Klang

Kemudahan itu bagi mempertingkatkan kadar pengambilan dos penggalak dan memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Tambah kenyataan itu, liputan vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang juga amat menggalakkan dengan 68.2 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak dengan Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus.

Setakat semalam, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Untuk rekod, program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan-Dos Penggalak (PICK-Booster) bermula pada 13 Oktober tahun lalu.

Jenis vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca, manakala vaksin Pfizer pula dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang sudah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

"Individu yang ingin hadir secara 'walk-in' perlu memastikan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi," menurut kenyataan itu.