Sunday, 22 May 2022

COVID-19: Kluster pendidikan di Melaka membimbangkan

  • Published in COVID-19

MELAKA, 25 Januari - Kluster COVID-19 melibatkan institusi pendidikan di negeri ini semakin membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman memberitahu untuk bulan ini sahaja, empat kluster institusi pendidikan dikesan melibatkan Kolej Vokasional, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Sekolah Menengah.

Katanya, daripada jumlah kes COVID-19 institusi pendidikan yang dilaporkan itu, satu kes melibatkan varian Omicron turut dikesan.

Justeru, pematuhan SOP ketat sangat dituntut daripada semua masyarakat khususnya warga pendidik, pelajar dan ibu bapa.

"Kita nampak ada peningkatan, memang jelas sebenarnya.

"Kita mohon kerjasama daripada semua pihak baik pelajar, guru, masyarakat supaya patuh kepada SOP yang sedia ada dan jangan sesekali lalai," katanya kepada pemberita selepas operasi Tahun Baharu Cina di Jalan Balai Panjang, di sini.

Ketika ini kluster aktif institusi pendidikan di Melaka ialah Kluster Jalan Kemendor Jasin melibatkan Kolej Vokasional Jasin yang membabitkan 39 pelajar dan Kluster Jalan Tun Telani yang membabitkan 135 pelajar di Kolej Vokasional Melaka Tengah.

"Manakala Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2 membabitkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) yang melaporkan 58 kes positif dan Kluster Jalan Pengkalan Batu membabitkan 29 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad," katanya.