Sunday, 22 May 2022

Kes jangkitan COVID-19 melibatkan pelajar sekolah di Kelantan meningkat - JKN Kelantan

  • Published in COVID-19

KOTA BHARU, 23 Januari - Kes jangkitan COVID-19 melibatkan pelajar sekolah meningkat, dengan terbaru membabitkan 62 pelajar sebuah sekolah menengah agama di Melor, Kota Bharu, Kelantan yang positif jangkitan berkenaan.

Kluster terbaru di sekolah menengah agama terbabit dikesan pada Khamis lepas.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan telah melakukan ujian saringan ke atas 102 kontak rapat pada hari tersebut.

Sesi persekolahan di sekolah berkenaan ditangguhkan sehingga 27 Januari depan dan digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi berkata sehingga semalam terdapat 30 kluster aktif termasuk 9 kluster sekolah.

"Kluster pendidikan yang dikesan sehingga semalam merekodkan 758 orang pelajar, kakitangan sekolah dan guru yang dikesan positif jangkitan COVID-19."

Kluster pendidikan melibatkan kluster Jalan Kompleks, Kluster Jalan Bukit Merbau, Lorong Banggol Manok, Kluster Embi Telipot, Pulau Melaka, Padang Raja, dan Bandar Chiku.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar yang tidak sihat dan bergejala supaya mereka tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

"Mereka juga digalakkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di rumah sebelum hadir ke sekolah untuk memastikan status benar-benar sihat," tambahnya.

Selain itu, pihaknya berharap masyarakat negeri itu supaya menjaga diri dan tidak keluar ke tempat sesak.