Sunday, 22 May 2022

Kadar Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak tidak menunjukkan peningkatan-KKM

  • Published in COVID-19

 



KUALA LUMPUR, 23 Januari- Trend dan Kadar Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada yang dicatatkan semasa pemberian dos primer.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar pelaporan AEFI bagi suntikan penggalak ialah 0.1 bagi setiap 1,000 dos, berbanding perangkaan keseluruhan iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos.

"Sejak PICK dilaksanakan hingga kelmarin, sejumlah 61,723,654 dos vaksin COVID-19 diberikan termasuk 10,192,887 dos penggalak.

"Secara keseluruhannya, sistem pelaporan AEFI Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menerima sejumlah 24,411 laporan termasuk 984 kes membabitkan dos penggalak.

"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 51 kes (5.2 peratus) diklasifikasikan sebagai serius iaitu bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos.

“Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan berkenaan.

Katanya, antara kesan sampingan dilaporkan adalah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, dan keletihan.

Penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh membuat laporan AEFI menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai di dalam aplikasi itu selain laporan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my). 

Sementara itu, Noor Hisham juga berkata kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalam meningkat kepada 4,116 berbanding 4,046 hari sebelumnya menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,829,089.

Sebanyak 39 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,077 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada 4,116 kes itu, sebanyak 498 adalah kes import dan 3,618 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 141 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,858 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,753,119 orang.

Katanya sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan dengan 225 kluster masih aktif.