Wednesday, 26 January 2022

updated 10:55 AM UTC, Jan 26, 2022

Pemantauan rapi sambutan Thaipusam, kekang penularan COVID-19 - Halimah

  • Published in Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Pemantauan rapi dan menyeluruh akan dilaksana bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam dipatuhi sepenuhnya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata langkah itu penting bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat khususnya penganut yang hadir ke kuil.

"Dia yang akan pantau ini Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara yang ada kuasa.

"Kalau ada tindakan pelanggaran SOP kompaun akan dikeluarkan pihak berwajib serta-merta," katanya selepas membuat lawatan persiapan tahap pematuhan SOP di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.

Tambah beliau, pihak kuil akan menyediakan pas kehadiran kepada setiap inidividu berdasarkan kapasiti kehadiran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan SOP perayaan Thaipusam dilaksanakan mulai 16 hingga 19 Januari serta membenarkan upacara membawa Paal Koodam bermula esok hingga 19 Januari.

Beberapa peraturan baharu juga ditetapkan iaitu membawa kavadi, pembukaan gerai jualan sementara dan sumbangan makanan adalah tidak dibenarkan.