Wednesday, 26 January 2022

updated 11:33 AM UTC, Jan 26, 2022

KKM, KPDNHEP laksana penentuan harga maksimum bagi dua produk vaksin jenama CoronaVac dan Covilo

  • Published in Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Kerajaan menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi dua jenis vaksin COVID-19 jenama CoronaVac dan Covilo, berkuat kuasa Sabtu ini.

Harga maksimum borong dan runcit itu ditetapkan bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, penetapan itu dibuat dalam usaha mengelakkan vaksin COVID-19 dijual pada harga terlalu tinggi di pasaran.

"Bagi harga vaksin CoronaVac Suspension for Injection SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cell), Inactivated harga borong maksimum yang ditetapkan adalah RM62 manakala harga runcit RM77.

Manakala vaksin Covilo Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated ditetapkan RM49 bagi borong dan RM61 harga runcit," menurut dua menteri berkenaan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Penguatkuasaan perintah ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

"Harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin COVID-19.

Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

Senarai dan harga vaksin COVID-19 akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa," menurut kenyataan itu.

Jelas kedua-dua menteri berkenaan, setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan Kerajaan untuk menawarkan private-purchase vaccination juga diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin COVID-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

Ini membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin COVID-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna.

Kenyataan turut menjelaskan, mana-mana individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan tindakan penalti.

"Kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," menurut kenyataan.

Medium penyaluran aduan juga disediakan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

Pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM https://moh.spab.gov.my