Tuesday, 17 May 2022
updated 4:44 PM UTC, May 17, 2022

vaksin

  • Indonesia percepat pembangunan vaksin merah putih

    FOTO UNICEF

    JAKARTA, 14 Januari -Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) Indonesia Muhadjir Effendy menggesa pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan penghasilan vaksin Merah Putih, agar vaksin COVID-19 keluaran tempatan dapat digunakan segera.

    ANTARA News melaporkan bahawa kerajaan Indonesia menerusi satu kenyataan akhbar pada Khamis berkata, pembangunan Vaksin Merah Putih sedang giat dijalankan oleh Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis, PT Bio Farma dengan Kolej Perubatan Baylor, Universiti Indonesia dengan kerjasama PT Etana, Institut Teknologi Bandung, PRBM Eijkman BRIN bersama PT Bio Farma, serta Universiti Padjadjaran selain bekerjasama dengan PT Bio Farma dan Lipotek.

    Vaksin Merah Putih yang dibangunkan Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis dijangka siap pada awal 2022 dan penghasilan vaksin secara besar-besaran pada pertengahan 2022, katanya.

    Effendy pada Rabu menggesa Kementerian Kesihatan menggalakkan penghasilan vaksin Merah Putih secepat mungkin ketika sesi mesyuarat penyelarasan yang membincangkan pengeluaran vaksin domestik.

    "Kami menaruh harapan penghasilan vaksin dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti, kejituan dan keberkesanan produk," tegasnya.

    Kementerian yakin bahawa vaksin yang dibangunkan pasukan penyelidik boleh digunakan segera bagi menyokong usaha melawan pandemik COVID-19 di Indonesia.

    “Sekiranya kita dapat mencapai sasaran maksimum, kita harap penggunaan vaksin buatan tempatan ini dapat menamatkan penularan wabak (COVID-19),” tegasnya.

    "Saya memanggilnya husnul khatimah. Kita berbangga dapat menjulang Bendera Merah Putih dengan mengatasi (wabak) menggunakan vaksin yang kita ada," katanya.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan vaksin COVID-19 dilaksanakan pihak kerajaan dengan kerjasama industri farmaseutikal, institusi penyelidikan dan universiti.

    Kenyataan itu turut menyebut, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengesahkan Vaksin Merah Putih primer akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2022 dan vaksin itu disasarkan untuk kegunaan kanak-kanak pada Jun 2022. - BERNAMA

  • AS luluskan penggunaan pil anti COVID-19

    AMERIKA SYARIKAT, 24 Disember- Amerika Syarikat meluluskan penggunaan pil anti Covid-19 bagi golongan berisiko dan yang berusia 12 tahun bagi mengekang lonjakan kes jangkitan varian Omicron.

    Paxlovid, yang merangkumi dua jenis tablet, diberikan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) selepas kajian klinikal membuktikan ia berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

    Amerika Syarikat setakat ini membelanjakan 5.3 bilion dolar bagi proses perolehan 10 juta rawatan lengkap menggunakan pil Paxlovid, dengan penghantaran pertama merangkumi 265 ribu bakal dilaksanakan pada Januari ini.

    FDA menegaskan rawatan menerusi pil berkenaan sepatutnya menjadi pelengkap, berbanding dianggap pengganti vaksin yang sehingga kini kekal sebagai sandaran utama dalam memerangi Covid-19.

    Sementara itu, badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu membenarkan negara anggota menggunakan pil keluaran Pfizer bagi membendung gelombang jangkitan varian Omicron.

    Kebenaran itu diberikan susulan peningkatan kes di Amerika Syarikat yang berpunca daripada varian itu.

  • COVID-19: Kes kematian di India melepasi 500,000

    FOTO AFP

    (Petugas kesihatan sedang menyuntik vaksin kepada remaja berumur 18 tahun ke atas)  

    NEW DELHI, 4 Februari- Jumlah kematian rasmi akibat COVID-19 di India melepasi 500,000 kes hari ini, walaupun banyak pakar percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi.

    Kemas kini Kementerian Kesihatan India menunjukkan jumlah kematian mencecah 500,055, tambahan lebih 1,072 dalam tempoh 24 jam terbaru.

    Manakala jumlah kes positif sudah mencecah 41.9 juta kes, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.  

    Jumlah kes telah meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron yang mudah merebak, namun kadar jangkitan sedikit berkurangan dalam tempoh beberapa hari lalu.

    Minggu lalu, Kementerian Kesihatan berkata terdapat petunjuk peningkatan kes di beberapa bahagian negara itu. 

    Pakar berkata gelombang Omicron tidak menyebabkan kes kematian atau kemasukan hospital yang tinggi. Beberapa negeri yang telah mengenakan sekatan pergerakan telah mula melonggarkan arahan itu.

    Hari ini, pihak berkuasa Delhi termasuk di kawasan ibu negara mengumumkan pembukaan semula sekolah tinggi, kolej, restoran dan gim seawal minggu depan.

    Selepas diarahkan tutup selama hampir dua tahun, pertama disebabkan COVID-19 dan berikutnya akibat pencemaran, kelas peribadi untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 14 tahun akan dibenarkan beroperasi semula pada 14 Februari ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Manish Sisodia menerusi Twitter.

    Tahun lalu, India antara negara paling teruk terjejas akibat penularan varian Delta, menyebabkan sistem kesihatan India hampir lumpuh.

    Banyak pakar meramalkan, jumlah kematian di negara itu boleh mencecah 500,000 kes pada tahun lepas. Hakikatnya gelombang Delta dan beberapa varian lain menyebabkan sekurang-kurangnya 200,000 kes kematian meskipun banyak hospital kehabisan bekalan oksigen manakala pesakit bertungkus lumus mendapatkan bekalan ubat. -AFP

  • Dos penggalak: Warga emas boleh 'walk in' ke PPV mulai Rabu ini

    PUTRAJAYA, 17 Januari - Pelaksanaan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus untuk warga emas bermula Rabu ini yang akan beroperasi setiap hari kecuali cuti umum di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini menyebut empat PPV tersebut ialah PPV World Trade Centre dan PPV Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, serta PPV Ideal Convention Centre di Shah Alam dan PPV Integrasi di Dewan Soka Gakkai, Klang di Selangor.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua PPV beroperasi bermula 2 petang hingga 8 malam, kecuali PPV Dewan Soka Gokkai yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

    Sehingga semalam, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas, iaitu individu berumur 60 tahun dan ke atas, di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.

    “Untuk makluman, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, adalah layak untuk menerima dos penggalak.

    “Warga emas yang ingin hadir secara ‘walk-in’ adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, kenyataan itu menyatakan PPV ‘Offsite’ di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga, akan melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus kepada warga emas mulai 24 Januari ini.

    Senarai lengkap PPV ‘Offsite’ yang terlibat akan diumumkan pihak ProtectHealth Corporation.

    Dalam pada itu, KKM dalam kenyataan sama menyatakan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac, untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.

    Bermula Rabu ini juga, vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut, khusus bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

  • Indonesia mula tawarkan dos penggalak pada 12 Januari

     

    JAKARTA, 3 Januari - Populasi dewasa di Indonesia akan mendapat dos penggalak vaksin COVID-19 mulai 12 Januari, menurut Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

    Individu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah lengkap suntikan dua dos COVID-19 untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lalu boleh mendapatkan suntikan penggalak bagi perlindungan berterusan, katanya semasa taklimat COVID-19.

    Kementeriannya menganggarkan lebih 21 juta orang di negara ini layak menerima suntikan itu.

    Menurut Budi, vaksin penggalak akan diberikan kepada daerah atau bandar dengan kriteria kadar vaksinasinya mencapai 70 peratus bagi dos pertama dan 60 peratus dos kedua.

    Terdapat 244 kawasan dan bandar yang telah memenuhi kriteria itu.

    Setakat ini, Indonesia telah memperoleh 113 juta dos, tetapi memerlukan 230 juta dos penggalak bagi menjayakan program - BERNAMA

  • Laos mula beri vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun

    VIENTIANE, 16 Februari -Kerajaan Laos pada Mac mula melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun dalam usaha menjamin keselamatan pelajar selaras dengan pembukaan semula sesi persekolahan, lapor Xinhua, memetik media tempatan.

    Akhbar tempatan Vientiane Times pada Rabu memetik kenyataan Timbalan Pengurus Program Imunisasi Kebangsaan, Chansai Pathammavong bahawa sejumlah 957,000 kanak-kanak akan menerima vaksin, dengan harapan menggalakkan ahli keluarga lain turut berbuat demikian.

    Pemberian vaksin berkenaan akan bermula di Vientiane, tetapi wilayah lain yang sudah bersedia melancarkan program itu boleh meneruskan imunisasi, kata Chansai.

    Vaksinasi terhadap kanak-kanak hanya diberikan sekiranya mendapat kebenaran ibu bapa dan penjaga.

    FOTO FACEBOOK UNICEF LAOS

    Kementerian akan merangka pelan vaksinasi manakala Kementerian Pendidikan dan Sukan pula mempromosikan mengenai kepentingan vaksinasi kanak-kanak.

    Kementerian Kesihatan turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan dan pegawai kesihatan mengkaji kemajuan dalam pemberian vaksin dalam kalangan remaja berumur 12 hingga 17 tahun dan memastikan suntikan diberikan kepada mereka yang masih belum menerimanya.

    Setakat ini, 65.74 peratus daripada rakyatnya telah menerima suntikan pertama, manakala 57.86 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin, menurut Jawatankuasa Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan COVID-19. - BERNAMA

  • Lebih 22.8 juta populasi dewasa malaysia lengkap vaksinasi

    KUALA LUMPUR, 31 Disember - Sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 98.9 peratus atau 23,148,776 individu daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sementara itu, 2,753,927 individu atau 87.5 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,846,238 individu atau 90.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 205,259 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 3,419 dos pertama, 4,719 dos lengkap dan 197,121 dos penggalak.

    Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19  meningkat kepada 57,515,286 dos dengan 6,109,673 daripadanya adalah dos penggalak. - BERNAMA

  • PICKids: Lebih 1,000 buah sekolah dijadikan PPV

     

    PUTRAJAYA, 11 Februari- Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi  Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenal pasti 1,055 buah sekolah yang akan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

    Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata ke semua sekolah itu  akan menjadi PPV kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan.

    “Adalah dijangka jumlah PPV sekolah akan bertambah dari masa ke semasa. Ke semua PPV sekolah akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari 2022 di seluruh negara.

    “Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah,” kata Dr. Noor Azmi menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

    Beliau yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C), turut memaklumkan bahawa KPM telah bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah. Ia bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi COVID-19.

    Bagi mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi. KKM turut menasihatkan ibu bapa memastikan kanak-kanak yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan meminum air secukupnya sebelum ke PPV.

    Mengenai perkembangan PICKids yang telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan pada 3 Februari lalu, setakat semalam seramai 79,393 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah menerima dos 1 vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech).

    PICKids menyasarkan 3.6 juta golongan kanak-kanak kumpulan usia itu bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dalam kalangan warga sekolah.

    “Pencapaian tertinggi adalah di Selangor 28,661 kanak-kanak, diikuti WP Kuala Lumpur & Putrajaya 17,887 kanak-kanak, Sarawak 17,877 kanak-kanak, Sabah 4,962 kanak-kanak, Melaka 3,425 kanak-kanak dan Negeri Sembilan 2,728 kanak-kanak,” katanya.

    Ketika ini, pemberian vaksin kanak-kanak dilaksanakan di pelbagai PPV iaitu di hospital, klinik kesihatan, PPV Integrasi dan PPV off-site.

  • Semakin banyak negara mewajibkan vaksinasi untuk nikmati aktiviti sosial lebih bebas

    FOTO AFP

    PARIS, 31 Januari- Semakin banyak negara di seluruh dunia mewajibkan pas vaksin COVID-19 atau menggesa mereka yang ingin melakukan perjalanan telah mengambil vaksin.

    Namun hanya beberapa negara mewajibkan ke semua penduduk mendapatkan vaksin. Ini maklumat ringkas mengenainya.

    -WAJIB DISUNTIK –

    Pada Disember, Ecuador menjadi negara pertama di dunia mewajibkan penduduknya mendapatkan suntikan COVID-19 termasuk kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas.

    Sejaka Julai lalu, dua negara autoritarian di Asia Tengah – Tajikistan dan Turkmenistan – sudah mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.

    Secara dasar, Indonesia juga telah mewajibkan pengambilan vaksin sejak Februari tahun lalu, namun hakikatnya hanya kurang separuh rakyatnya sudah mengambil vaksin setakat awal 2022.

    Di Pasifik, Persekutuan Micronesia iaitu beberapa gabungan pulau di rantau Microneisa telah mewajibkan penduduk berumur lebih 18 tahun mendapatkan vaksin.

    Austria akan menjadi negara Kesatuan Eropah pertama mewajibkan pengambilan vaksin kepada rakyat berumur 14 tahun ke atas pada Jumaat dan mereka yang ingkar akan didenda sebanyak 600 Euro atau AS$670.

    Bundestag atau Parlimen Jerman sedang membahaskan Rang Undang Undang mewajibkan vaksin yang ditolak Canselor Demokrat baharu, Olaf Scholz.

    - SASARAN ORANG DEWASA –

    Beberapa negara Eropah memberi tumpuan vaksinasi kepada golongan dewasa, kumpulan berisiko mendapat sakit teruk apabila dijangkiti COVID-19.

    Di Itali, ke semua warga berusia 50 tahun ke atas perlu mendapatkan vaksin bermula 15 Februari ini.

    Di Greece, penduduk berumur 60 tahun wajib mengambil vaksin sejak awal tahun ini. Republik Czech pada mulanya turut mengambil langkah sama, namun kerajaan baharu menggugurkan idea tersebut.

    - PETUGAS BARISAN HADAPAN -

    Individu dalam sektor pekerjaan tertentu menjadi kumpulan sasaran yang perlu mendapatkan vaksin.

    Di Perancis, pekerja bahagian penjagaan dan kesihatan termasuk ahli bomba, pemandu ambulans dan pembantu rumah juga perlu mendapatkan vaksin.

    Di England, Greece dan Itali, pekerja kesihatan dan kakitangan rumah persaraan juga dilindungi atau perlu divaksinasi sementara Rom juga memanjangkan keperluan itu kepada petugas di sekolah dan anggota polis.

    Di Jerman, kakitangan perubatan perlu membuktikan bahawa mereka telah mendapatkan vaksinasi lengkap menjelang 15 Mac ini.

    Beberapa negara lebih kehadapan termasuk Hungary membenarkan syarikat membantu pekerja mereka divaksinasi.

    Di Panama, Presiden Laurentino Cortizo mengeluarkan dekri mewajibkan semua penjawat awan wajib divaksinasi, bulan ini.

    Di Amerika Syarikat Mahkamah Agung berjaya mengetepikan usaha Presiden Joe Biden mewajibkan jutaan pekerja syarikat besar mendapatkan suntikan vaksin.

     

    - PAS VAKSIN -

    Lebih banyak negara kini mewajibkan individu yang ingin melakukan perjalanan atau masuk ke tempat awam menunjukkan pas vaksin.

    Di Arab Saudi, pas vaksin diwajibkan untuk masuk ke bangunan peribadi atau kerajaan mahupun jika ingin menggunakan perkhidmatan awam atau sekiranya meninggalkan negara.

    Pas vaksin juga perlu ada di Maghribi untuk masuk ke ruang tertutup seperti hotel, restoran, kafeteria, kedai dan pusat sukan juga pejabat awam atau sekiranyan ingin meninggalkan negara dan di Tunisia akses masuk ke sekolah, kafeteria, bank dan pejabat pentadbiran.

    Di Kenya, pas vaksin diperlukan jika menggunakan perkhidmatan awam dan ruang awam sementara di Itali, sejak Januari pas vaksin telah diwajibkan jika menggunakan pengangkutan awam, hotel, restauran, ruang pameran dan kongres serta kolam renang dan gim.

    Manakala di Perancis, pas vaksin bakal diwajibkan dan hanya mereka yang mendapat vaksin lengkap boleh menggunakan perkhidmatan kereta api antara bandar, acara kebudayaan atau makan di restoran. Ujian saringan terbaru dan bukti pulih COVID-19 tidak lagi sah. -AFP

  • Seramai 203,943 individu dewasa terima dos penggalak semalam

     

    KUALA LUMPUR, 27 Januari - Seramai 203,943 individu dewasa di negara ini menerima dos penggalak COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 11,327,531 atau 48.4 peratus.

    Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 22,920,175 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap divaksin, manakala 23,197,884 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

    Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,784,682 individu atau 88.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,865,987 individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Statistik harian menunjukkan sebanyak 208,042 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,677 dos pertama, 2,422 dos lengkap dan 203,943 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bertambah kepada 62,892,195 dos.

    Sementara itu, menurut portal Github KKM, sebanyak 12 kematian COVID-19 dilaporkan semalam dengan Sabah dan Selangor masing-masing merekodkan tiga kes, Johor (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang. -BERNAMA

  • Tawar sijil vaksinasi palsu, poliklinik swasta diserbu polis


    SHAH ALAM, 17 Januari -Tujuh individu tempatan termasuk tiga wanita yang merupakan pekerja dan pemilik sebuah poliklinik dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Gombak, Selangor.

    Ke semua suspek yang ditahan oleh pihak polis berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun disyaki melakukan kegiatan itu, sejak tiga bulan lalu.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan di poliklinik pada Jumaat lalu, polis turut merampas peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam aplikasi MySejahtera.

    Menurutnya, walaupun poliklinik tersebut menerima vaksin COVID-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kandungan botol vaksin dibuang dan dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah dicucuk dan sijil vaksinasi dikeluarkan.

    Arjunaidi berkata modus operandi poliklinik berkenaan adalah bagi individu yang tidak mahu menerima vaksin (antivaksin), mereka tidak akan disuntik tetapi hanya dikeluarkan sijil selepas dikenakan bayaran tertentu.

    Tambahnya pada peringkat awal, pelanggan akan dikenakan bayaran sehingga RM3,000 tetapi kemudiannya bayaran diturunkan kepada RM500.

    Beliau juga tidak menafikan terdapat persaingan harga dari kumpulan lain yang menawarkan perkhidmatan sama.

    Serbuan itu dilakukan susulan pesanan ringkas yang tular melalui WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

    “Hasil penelitian dalam komputer riba yang dirampas mendapati terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya.

    "Modus Operandi yang digunakan dalam kes ini adalah dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran “Whatsapp” dan juga kenalan terdekat."

    Mereka disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

    Sebelum ini media melaporkan Polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu yang melibatkan seorang doktor klinik swasta berusia 51 tahun di Daerah Marang. 

    Penipuan mengeluarkan sijil vaksinasi palsu berkenaan melibatkan golongan yang enggan divaksin dan sanggup membayar sejumlah upah antara RM400 ke RM600 bagi mendapatkan sijil palsu tersebut.

    Sehingga tangkapan dibuat, polis percaya terdapat lebih 1,900 individu terlibat memohon mendapatkan sijil vaksinasi palsu itu.

  • Turki lancar vaksin COVID-19, TURKOVAC

    TURKI, 24 Disember- Turki melancarkan pengeluaran besar-besaran vaksin Covid-19, TURKOVAC selepas mendapat kelulusan untuk diguna sebagai penggunaan kecemasan.

    Proses membangunan TURKOVAC yang bermula pada April 2020 itu melalui proses kajian praklinikal sebelum berjaya di dimuktamadkan pada Oktober tahun yang sama. 

    Fasa pertama kajian bermula pada bulan berikutnya melibatkan 44 sukarelawan manakala fasa kedua dilancarkan pada 10 Februari 2021 dengan penyertaan 250 sukarelawan.

    Data kajian kedua-dua fasa berkenaan menunjukkan hasil yang positif dan sebelum pihak berkuasa kemudian melancarkan kajian fasa tiga. 

    Di bawah fasa tiga, dos pertama vaksin telah diberikan pada 22 Jun 2021 yang turut disertai Presiden Recep Tayyip Erdogan, sekali gus mengumumkan nama vaksin itu sebagai Turkovac.

    Beribu-ribu sukarelawan yang tidak dijangkiti Covid-19 atau telah mendapat vaksin sebelum ini, disuntik dengan Turkovac sebagai sebahagian kajian untuk fasa tiga.

    Pada Oktober lepas,  Turkovac digunakan sebagai dos penggalak dan sukarelawan yang sebelum ini menerima dua dos vaksin Sinovac,  diberikan dos penggalak sama ada Turkovac atau Sinovac bergantung kepada pilihan mereka.