Monday, 27 June 2022
updated 4:33 PM UTC, Jun 27, 2022

ismail sabri

  • 'Terima kasih atas sumbangan anda' - PM

    FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI


    BERA, 23 Januari -
    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang bekerja keras membantu ketika banjir melanda negara dua kali dalam tempoh singkat, baru-baru ini.

    Beliau berkata kerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sangat menitikberatkan kebajikan mangsa banjir, bukan hanya semasa bencana itu sebaliknya diteruskan sehingga pascabanjir.

    “Saya hargai semua pihak yang bertungkus lumus sewaktu dan selepas banjir terutama dalam membersihkan rumah mangsa banjir selain kawasan awam.

    “Terima kasih atas sumbangan anda yang membolehkan isu banjir ditangani dengan baik di Bera sehingga peringkat menyampaikan sumbangan juga berjalan baik,” katanya. 

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi Kepada Petugas-Petugas Banjir Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di sini hari ini.

    Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Banjir berjumlah RM2,500 bagi setiap isi rumah yang terkesan akan diberikan secara tunai kepada mangsa banjir daerah Bera dalam masa terdekat.

    Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan sijil penghargan kepada 20 agensi, jabatan dan penghulu yang bertugas semasa banjir antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. - BERNAMA

     

  • Doakan Dr Mahathir segera sembuh - Marina

    FOTO INSTAGRAM

    KUALA LUMPUR, 22 Januari– “Seluruh keluarga mohon doa rakyat Malaysia agar ayah segera sembuh”, kata anak kepada Tun Dr Mahathir, Datin Paduka Marina.

    Jelas Marina, ayahnya kini dalam keadaan stabil dan memberi reaksi yang baik kepada rawatan yang diberikan.

    "Sejak dua hari lepas, Dr Mahathir dirawat di IJN, lanjutan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari", katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan lewat petang tadi

    "Tun Dr Siti Hasmah serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau (Dr Mahathir) segera sembuh sepenuhnya."

    Sejak 12 tengah hari tadi, beberapa petugas media mula berkampung di pusat perubatan itu bagi mengikuti perkembangan keadaan Dr Mahathir.

    Pada 3.52 petang, jurucakap mengesahkan Ahli Parlimen Langkawi itu berada di Unit Rawatan Koronari (CCU).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menziarahi Dr Mahathir pada 5.35 petang tadi.

    Menerusi status di Twitter kira-kira 6.12 petang, Perdana Menteri berharap agar keluarga bekas Perdana Menteri itu terus tabah.

    "Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr. Mahatir terus tabah," katanya.

    Untuk rekod, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember 2021 untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

    Selepas 16 hari keluar dari IJN, Dr Mahathir sekali lagi dimasukkan ke IJN kerana perlu menjalani prosedur perubatan elektif.

  • Hubungan akrab Malaysia-Brunei berada pada tahap membanggakan - Ismail Sabri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Februari -Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brunei bukan sahaja mengeratkan lagi jalinan kerjasama kedua-dua negara, malah membawa hubungan sedia ada ke tahap lebih tinggi dan komprehensif.

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, perbincangan beliau dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah membuahkan hasil dan amat berjaya setelah kesepakatan dicapai membabitkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

    Kunjungan kali pertama Ismail Sabri ke Brunei sejak dilantik menjadi Perdana Menteri, mencerminkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan istimewa yang telah terjalin sejak tahun 1984.

    Malah, hasil pertemuan empat mata Perdana Menteri dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman, beberapa perkara telah mencapai kata sepakat termasuk mencari penyelesaian isu-isu yang tertangguh akibat wabak COVID-19.

    “Alhamdullilah, lawatan rasmi pertama saya selama dua hari ke negara Brunei Darussalam berlangsung dengan baik dan sempurna… kunjungan ini amat berjaya,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar di akhir lawatan beliau sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

    Selain itu, tumpuan utama adalah persetujuan secara dasar mengenai Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) antara Malaysia-Brunei.

    Kata sepakat dicapai oleh kedua-dua pemimpin untuk melaksanakan VTL udara dan darat secepat mungkin bagi memudahkan rakyat merentas sempadan.


    FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI

    Mengenai usaha memudahkan urusan rakyat merentas sempadan, Malaysia-Brunei telah menyatakan kesediaan untuk Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksinasi dan integrasi sistem bagi aplikasi MySejahtera dan BruHealth.

    Jika sebelum ini rakyat bagi kedua-dua negara mungkin berhadapan kekangan untuk mengemukakan maklumat atau pengesahan sijil vaksinasi melalui aplikasi tersebut, namun menerusi inisiatif ini akan memudahcara perjalananrakyat secara timbal balas, terutama mereka yang berulang-alik merentas sempadan.

    Pertemuan turut menyentuh mengenai Projek Lebuh Raya Trans-Borneo (Malaysia-Brunei).

    Lebuhraya Trans Borneo adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei.

    Kedua-dua negara bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi dalam meneliti serta memutuskan cadangan projek antara Malaysia-Brunei yang meliputi dua fasa.

    Fasa satu iaitu pembinaan kini berada pada tahap 77%, manakala bagi fasa kedua pula akan melibatkan Brunei dalam dua segmen.

    Tidak terkecuali, usaha-usaha menetapkan penandaan persempadanan turut dipersetujui.

    Dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17 peratus yang sudah disusun dan ditanda, daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang dimuktamadkan.

    Sehubungan itu, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada tahun 2011 di peringkat pegawai kanan, akan diadakan pada kadar segera.

    Tidak hanya tertumpu kepada perkara berkepentingan bersama, malah perbincangan turut mengetengahkan isu-isu serantau termasuk situasi di Myanmar dan Laut China Selatan.

    Dalam lawatan itu juga, Ismail Sabri turut menjemput Sultan Brunei ke Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-24 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

    Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Brunei melabuhkan tirainya semalam.

    "Hubungan akrab antara Malaysia dan Brunei yang kini berada pada tahap yang membanggakan." kata Perdana Menteri.

  • Kerajaan pastikan strategi Bajet 2022 teratur - PM



    KUALA LUMPUR, 22 Januari -Kerajaan bertekad untuk memastikan pelaksanaan teratur bagi kesemua strategi yang telah digariskan di dalam Bajet 2022 demi kesejahteraan rakyat, sektor perniagaan yang berdaya tahan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang makmur dan mampan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022.

    Katanya, bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan Bajet 2022 bernilai RM333.1 bilion, jawatankuasa tersebut akan mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan dasar yang sesuai.

    "Proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.

    "JPB 2022 akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Justeru, pakar-pakar industri dijemput untuk memberi maklumbalas profesional, jika perlu selain mengalu-alukan maklumbalas dari rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022.

    Maklumbalas boleh dikongsi melalui talian ‘hotline’ 03-88824666.

    Berkaitan dengan bencana banjir yang meninggalkan impak yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga diberi perhatian khusus dalam pelaksanaan bajet itu.

    “Sehubungan itu, Bajet 2022 memperuntukkan antara lain sejumlah RM450 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, dan penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara.

    “Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama,” katanya.

     

  • Lawatan PM Ismail Sabri bukti hubungan akrab Malaysia - Brunei

    KUALA LUMPUR, 16 Februari- Hubungan dua hala Malaysia dan Brunei sentiasa akrab dan terus diperkukuhkan lagi menerusi lawatan dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei bermula Isnin.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi akaun Twitternya berkata lawatan Ismail Sabri telah membantu mengukuhkan lagi kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

    “Kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke arah pemulihan ekonomi dan pengurusan COVID-19, termasuk mewujudkan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) melalui udara,” ciapnya.


    FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI 

    Pelaksanaan VTL udara dan darat serta pengiktirafan sijil vaksinasi digital MySejahtera dan BruHealth, dua perkara utama yang diputuskan semasa lawatan rasmi dua hari itu.

    Perjanjian yang dicapai hasil perbincangan antara Ismail Sabri dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah itu bakal melegakan rakyat kedua-dua negara selain membantu memulihkan sektor ekonomi.

    Buat masa ini terdapat lebih 25,000 rakyat Malaysia menetap di Brunei, terdiri golongan profesional, pelajar dan yang bekerja di negara ini serta rakyat Sarawak, khususnya di kawasan sempadan yang berulang-alik ke Brunei.

    Lawatan rasmi Ismail Sabri ke Brunei adalah yang pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri Ogos lepas. -BERNAMA

  • MSDN berupaya kukuh sistem statistik negara - PM

    PUTRAJAYA, 27 Januari-Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Ketua Pegawai Data (CDO) juga akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap Kementerian, Jabatan, Agensi Persekutuan dan Negeri mulai tahun ini secara berperingkat serta pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

    "Keputusan itu dibuat melalui Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) dalam mesyuarat pertamanya di Putrajaya hari ini, menurut Perdana Menteri melalui satu kenyataan.

    Tambahnya, MSDN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

    Data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara," tambah kenyataan itu.

    Perdana Menteri juga berkata, kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan.

    "Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat (kukuh) dan bersepadu. Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik," jelasnya.


    MSDN dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan yang bertindak sebagai sekretariat.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta berpandukan hala tuju MSDN.

    Empat Kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif, iaitu Kluster Ekonomi, Pertanian & Perindustrian yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kluster Pendidikan, Sosial & Kependudukan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kluster Kesejahteraan, Keselamatan & Kesihatan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kluster Infrastruktur, Teknologi & Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Kerja Raya (KKR).

    Jawatankuasa Eksekutif itu berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

    Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi.

    Selain itu, MSDN turut mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    "Ini bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti," katanya.

    Justeru, Ismail berharap dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

  • PM beri komitmen bantu Rohana

    KUALA LUMPUR, 16 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika di sini, 22 tahun lepas selepas ibunya pulang ke Indonesia.

    Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial Setiausaha Akhbarnya Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

    Menerusi perkongsian itu, perdana menteri yang dilihat berada dalam kenderaan telah menghubungi sendiri Rohana bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi gadis berkenaan.

    Ismail Sabri berkata beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

    Perdana Menteri berkata pihaknya akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

    “Kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak,” kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu.

    Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap perdana menteri dapat membantunya.

    Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

    Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

    Dalam pada itu, menerusi catatan di laman Facebooknya, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Chee yang menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang.

    Beliau berkata Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

    “Insya-Allah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

    Buat Chee Hoi Lan, terima kasih...salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan,” katanya.- BERNAMA

  • PM ziarah Tun Dr Mahathir di IJN

    FOTO TWITTER ISMAIL SABRI

    KUALA LUMPUR, 22 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

    Beliau tiba di IJN pada 5.35 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit sebelum kelihatan meninggalkan perkarangan itu dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna putih dan diiringi kenderaan polis.

    Tidak lama kemudian, pada 6.12 petang menerusi ciapan di Twitternya, beliau berharap agar keluarga bekas perdana menteri itu terus tabah.

    "Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr. Mahatir terus tabah," katanya.

    Terdahulu, beberapa petugas media dari pelbagai agensi, mula berkampung di pusat perubatan itu sejak pukul 12 tengah hari tadi bagi memantau perkembangan bekas Perdana Menteri itu.

    Dr Mahathir dimasukkan sekali lagi ke IJN, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak IJN mengenai keadaan beliau.

    Pada 3.52 petang, jurucakap mengesahkan Ahli Parlimen Langkawi itu berada di Unit Rawatan Koronari (CCU).

    Untuk rekod, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 16 Disember 2021 untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

    Selepas 16 hari keluar dari IJN, Dr Mahathir sekali lagi dimasukkan ke IJN kerana perlu menjalani prosedur perubatan elektif.

  • RFID: Serahkan kepada pengguna buat pilihan - PM



    PUTRAJAYA, 20 Januari - Pengguna jalan raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu menggunakan sistem sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch 'n Go (TnG) atau SmartTAG, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurut beliau, kabinet sebulat suara berpendapat pengguna mesti diberi pilihan sewaktu TnG diperkenalkan di peringkat awal dengan pembayaran secara tunai masih diteruskan.

    Katanya, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

    "Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch 'n Go atau SmartTAG," ujarnya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya.

    Mengakui RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan perjalanan namun menurut Ismail, pengguna juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID merupakan projek rintis dan mengambil masa untuk pengguna menyesuaikan diri.

    Manakala pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG, katanya.

    "Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong RFID, selebihnya lorong Touch 'n Go dan Smartag.

    "Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID nak mudahkan jalan, mereka boleh tukar,"

    Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya sudah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet, Ismail berkata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk berbincang dan membuat keputusan lanjut.

    Tambahnya, apa sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu.

    Sejak pelaksanaan RFID pada 15 Januari lalu, media dan pengguna internet melaporkan kesesakan di beberapa plaza tol di sekitar Lembah Klang, didakwa akibat kegagalan RFID berfungsi.

    Netizen juga turut berkongsi beberapa video dan gambar di media sosial menunjukkan pengguna jalan raya terpaksa mengundurkan kenderaan mereka sehingga berlakunya kesesakan di plaza tol.

    PLUS Malaysia (PLUS) menerusi catatan Facebook pada Rabu berkata, pihaknya kini melakukan analisis data secara proaktif, pemantauan semasa dan kajian bagi penambahbaikan sistem RFID di semua laluan lebuh rayanya.

    Menurut PLUS, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS turut bersiap siaga terutama di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk kelancaran penggunaan RFID.

  • RM1.4 bilion ringankan beban penduduk terjejas banjir termasuk bantuan RM500 baucar elektrik

     

    KUALA LUMPUR, 30 Disember - Kerajaan memperuntukan keseluruhan RM1.4 bilion melalui inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif dan menyeluruh bagi meringankan beban penduduk terjejas banjir.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan penambahbaikan bagi Bantuan Wang Ihsan (B-W-I) meliputi pemberian RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas dan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

    "Bantuan ini bukan sahaja dalam bentuk wang tunai tetapi juga dalam bentuk baucar, rebat dan inisiatif-inisiatif daripada badan-badan lain seperti BSN, TNB, NADMA, syarikat kereta, GLC/GLIC dan sebagainya," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya.

    Beliau turut mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa birokrasi atau perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

    Tambah beliau, ia akan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengetepikan mana-mana pihak yang memerlukan.

    "Kita sedar musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, jadi, sukacita saya umumkan kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak".

    Penduduk terjejas banjir turut menerima bantuan baucar RM500 bagi pembelian barangan elektrik melalui kedai dan pasaraya berdaftar serta di platform e-Dagang yang diiktiraf.

    "Besar harapan saya bahawa kesemua inisiatif di atas dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia," katanya.

    Tambah beliau, kerajaan-kerajaan negeri juga telah membuat bayaran BWI bermula 27 Disember lalu dan dijangka selesai minggu ini.

    Namun, Selangor dan Pahang dijangka mengalami sedikit kelewatan berikutan jumlah penduduk terjejas yang ramai.

    Setakat ini, lebih 30, 000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah didaftarkan untuk menerima BWI.

    Pihak NADMA juga telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.

    Sehingga kini, seramai 25 waris telah menerima bantuan RM10 ribu.

    Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir.

    RM10 juta tambahan turut diperuntuk bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah penduduk terjejas.